Pages

Unit Pengikut

Wednesday 9 November 2011

Islamik : Mashitah


  “MASHTAH!!” satu suara melaung memanggil Mashitah. Tergesa-gesa Mashitah berlari mendapatkan tuannya itu.
“Ya, Tuan Daniel. Ada apa-apa yang perlu saya lakukan?” lembut tutur katanya. Tuan Daniel memandang Mashitah dengan tajam.
“Aku mahu wain tahun 1986 punya. Pergi ambil cepat!” tegas Tuan Daniel. Semua pembantu Tuan Daniel gerun dengannya kerana dia seorang yang tidak berperikemanusiaan.
“Baiklah Tuan Daniel,” patuh Mashitah.
Mashitah berjalan kearah rak yang menempatkan minuman keras. Sebelum Mashitah memegang botol itu, dia memakai sarung tangan terlebih dahulu. Mashitah bukanlah orang yang beragama islam tetapi dia tidak suka bau arak melekat padanya. Tidak sampai 3 minit, Mashitah sudah menghidangkan air kepada tuannya.
“Tuan, Tuan mahu makan?” soal Mashitah.
“Aku lapar. Pergilah kau buatkan aku makanan yang sedap,” arah Tuan Daniel.
“Tapi Tuan.. Bekalan makanan sudah habis. Saya ingin minta izin Tuan untuk keluar sebentar membeli bahan untuk memasak,” mendengarkan itu, tuan Daniel lantas bingkas. Bercekak pinggang menghadap Mashitah. Mashitah hanya tunduk ketakutan.
“APA? Sudah habis? Hei, baru saja aku bagi duit beli barang minggu lepas. Sudah habis kau kata? Apa yang kau buat, ha? Kau curi bagi pada suami kau yang lumpuh tu ye?” Tuan Daniel memarahi Mashitah. Merah padam mukanya menahan marah. Mashitah hanya tunduk tidak berkata apa.
“Papa, sudahlah tu! Bagi saja duit kat dia. Jue dah lapar ni!!” sampuk Julia, puteri kesayangan Tuan Daniel yang baru saja turun dari biliknya. Satu-satunya anak tunggal.
“Sudah!! Ambil duit ni. Pastikan kau masak yang sedap-sedap!” arah Tuan Daniel sambil menghulurkan dua keping not Rm50.
“baiklah Tuan Daniel,” Mashitah mengangguk perlahan dan terus berlalu ke dapur.
*Azan sedang berkumandang ketika Mashitah berjalan pulang dari pasar. Mashitah berhenti berjalan di depan Masjid betul-betul menghadap pintu masuk. Mashitah melihat ramai orang muslim berjalan masuk ke dalam masjid. Baik laki-laki mahupun perempuan. Mendengarkan azan itu, Mashitah berasa sangat tenang. Dia memejamkan mata menghayati alunan azan itu.
Ustaz Sufi yang memerhatikan gelagat Mashitah, datang menegurnya selepas bilal masjid selesai mengalunkan azan.
“Mashitah, kamu dari mana?” soal Ustaz Sufi ramah.
“Oh.. Ustaz, saya dari pasar beli bahan-bahan untuk memasak. Saya mahu balik ke rumah Tuan Daniel. Mengapa Ustaz tidak masuk ke dalam seperti orang lain?”
“Saya memang mahu masuk ke dalam. Tapi, aku lihat kamu di sini. Saja aku datang untuk menegur kamu. Aku tengok begitu asyik kamu berdiri di sini tidak bergerak langsung,”  Gurau Ustaz Sufi dan  ketawa kecil.
“Baiklah Ustaz, saya balik dulu. Nanti Tuan Daniel marah pula,”
“Baik-baik berjalan,” Mashitah segera berlalu dari situ. Ustaz Sufi berjalan masuk ke dalam masjid dengan lafaz Bismillah dan doa syukur kepada Allah.
Mashitah menoleh ke belakang. Dilihatnya Ustaz Sufi sudah melangkah masuk. “kalaulah Ustaz tahu perasaan aku ketika ini. Apa agaknya reaksinya? Aku bukan muslim dan juga bukan orang-orang yang mulia seperti Ustaz. Aku mahu belajar islam, tapi aku malu. Aku juga takut Tuan Daniel akan marah dan menghukum keluargaku.” Mashitah bermonolog sendiri. Hatinya resah.
Ramai yang tertanya mengapa namanya adalah nama wanita islam. Dia juga tertanya sedangkan dia adalah beragama kristian. Ibunya pernah memberitahu;
“Nama Mashitah ibu dapat daripada seorang muslim yang sangat baik. Dia banyak membantu. Pernah ibu berharap untuk menjadi sepertinya suatu hari. Kini, ibu sudah menjadi muslim. Ibu harap suatu hari nanti, Mashitah juga begitu. Semoga Allah membuka pintu hatimu untuk menerima islam. Insya-Allah,” Kata ibunya. Mashitah yang ketika itu masih remaja hanya mengangguk tanda faham.
* “Tuan. Kerja saya sudah selesai. Saya nak minta izin untuk pulang Tuan,”
“Pergilah kau! Sebelum tu, pastikan segala kerja kau seperti selalu. Kalau aku nampak ada yang kurang, gaji kau akan ku potong, faham?” herdik Tuan Daniel. Dipandangnya Mashitah seolah-olah dia adalah sampah yang jijik. Mashitah hanya menggangguk dan berlalu dari situ.
Mashitah keluar mengikut pintu belakang. Sebaik melintasi pintu pagar, Mashitah berhenti. Kaki dan hatinya seolah-olah tergerak mahu mengikut arah bertentangan dari rumahnya. Dia berjalan dan terus berjalan. Akhirnya Mashitah berhenti di hadapan rumah Ustaz Sufi.
Mashitah melihat langit dan arah matahari. Dia tahu waktu itu Ustaz Sufi seharusnya berada di rumah selepas solat asar. Mashitah menjenguk ke dalam rumah pula.
“Mashitah. Ada apa kamu di sini?” soal Khalijah, isteri ustaz Sufi. Kebetulan dia sedang menyidai kain ketika terlihat kelibat Mashitah di depan rumahnya.
Mereka bersalaman. “kak Khalijah, Ustaz Sufi ada di rumah? Saya ingin berjumpa dengannya,”
“Jemputlah masuk, Mashitah. Suami akak ada di rumah. Dia baru saja pulang dari masjid,” Benar telahan Mashitah. Mashitah duduk di kerusi sementara Khalijah memanggil suaminya.
Ustaz Sufi duduk berhadapan dengan Mashitah manakala khalijah beredar ke dapur untuk menghidang air. Mashitah bingkas berdiri.
“Kenapa berdiri? Duduklah,” Pinta Ustaz Sufi. Mashitah akur dan duduk semula.
“Ada apa kamu ke mari, Mashitah?” soal ustaz Sufi.
Melihatkan Mashitah teragak-agak, Ustaz sufi bangun dan beredar ke dapur untuk memanggil isterinya. Khalijah meletakkan cawan berisi air di hadapan Mashitah. Ustaz Sufi duduk berhadapan dengan Mashitah, begitu juga Khalijah.
“Ada apa kamu ke mari, Mashitah? Akak tengok macam kamu takut je. Tuan Daniel marah kamu lagi ke?” soal Khalijah menduga.
“Tak Kak Khalijah. Mashitah ke mari kerana berhajat. Mashitah...” Teragak-agak Mashitah mahu menyuarakannya.
“Katakan saja, Mashitah!” gesa Ustaz Sufi dalam nada yang lembut.
“Tak mengapalah. Mashitah pulang dulu. Suami Mashitah mesti tengah tunggu,”
“Baiklah. Kalau ada apa-apa datanglah lagi,” Mashitah mengangguk dan terus beredar.

* seminggu kemudian, hati Mashitah meronta-ronta mahu jumpa dengan Ustaz Sufi dan Khalijah. Ada hajat yang mahu ditunaikan. Tetapi, mashitah terasa malu.
Hujan lebat turun mencurah-curah ketika mashitah dalam perjalanan pulang daripada pasar. Mashitah berteduh di ruang luar masjid. Kakinya tergerak memasuki ke ruang yang lebih dalam. Dia tergamam tatkala matanya melihat keliling masjid itu. Dia terpesona melihat keindahan ayat-ayat suci dan kalimah ALLAH serta rasul. Seketika azan berkumandang. Mashitah duduk termangu di situ sehingga bilal selesai melaungkan azan.
“Kak Khalijah!” panggil mashitah tatkala dia melihat khalijah berjalan masuk.
“Ya Allah, Mashitah. Terperanjat akak.” Khalijah beristighfar. Tak sempat dia bertanya, Mashitah sudah bersuara.
“Kak, boleh Mashitah datang ke rumah usai Mashitah habis kerja hari ini?” soal Mashitah tanpa berselindung. Dia nekad akan menyuarakannya.
“Boleh tapi ada apa?”
“Nanti saja Mashitah khabarkan. Mashitah pulang dulu. Hujan pun dah renyai je,” Khalijah mengangguk. Mashitah berlari-lari anak pulang ke rumah Tuan Daniel.
Mashitah tergesa-gesa menyudahkan kerjanya dengan berhati-hati. Dia tidak sabar mahu ke rumah Khalijah. Usai kerjanya, Mashitah meminta izin untuk pulang. Julia pelik melihat tingkah lakunya. Namun dia tidaklah curiga apa-apa.
“Kak Khalijah! Ustaz Sufi!” Mashitah melaung.
“Masuklah Mashitah,” Pelawa Khalijah. Dia sememangnya menunggu kedatangan Mashitah seperti yang dijanjikan tengah hari tadi.
“Ada apa kamu mahu berjumpa?” soal Ustaz Sufi.
“Saya mahu… hm…”
“Tak usah takut. Katakan aja.” Gesa Khalijah. Bibirnya sentiasa tersenyum manis. Mashitah memandang Khalijah. Wanita itu sangat ayu.
“Saya mahu masuk islam kak,” Terang Mashitah.
Khalijah dan Ustaz Sufi berpandangan. “Betul kamu mahu mengikut segala ajaran islam, Mashitah?” soal Ustaz Sufi.
“Ye, Ustaz. Hati saya tenang bila dengar azan. Hati saya tergerak untuk jumpa Ustaz supaya saya boleh mendalami islam. Saya tahu islam adalah agama yang sangat suci,” Airmata Mashitah mengalir jua, terharu.
“Alhamdulillah. Syukur kepada Allah,” Ucap Ustaz Sufi dan Khalijah hampir serentak. Bibir mereka tersenyum. Gembira dengan kenyataan Mashitah.
“Ha, bagaimana pula Tuan Daniel? Apa, kau tak takut Mashitah?” soal Khalijah tiba-tiba. Dia teringatkan kebencian Tuan Daniel terhadap orang Islam biarpun dia menetep di bumi islam.
Mashitah mengesat airmatanya. “biar saya yang uruskan semuanya. Tahulah saya untuk sembunyikan perkara ini. Asalkan tiada orang lain yang tahu.” Ujar Mashitah tenang. Pasangan suami isteri itu mengangguk. Namun, hati mereka mendoakan kesejahteraan Mashitah sekeluarga.
“Saya pulang dulu, Ustaz.. Kak,”
“Baik-baik berjalan Mashitah,” Pesan Khalijah.
“Esok saya datang lagi.”
“Insya-Allah.” Ujar Khalijah perlahan. Mashitah melangkah keluar dari rumah Khalijah dengan nafas yang lega. Dia berjalan laju menuju ke rumahnya.

* Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Mashitah semakin fasih dalam ajaran islam yang diajar oleh Ustaz Sufi dan Khalijah. Biarpun berasa gerun dengan Tuan Daniel, namun Mashitah tetap teruskan niatnya.
Mashitah bersyukur apabila suaminya mengizinkannya malah suaminya juga mahu memeluk islam. Hinggalah hari yang mana waktu itu sebelum umat islam akan menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.
“Mashitah, Alhamdulillah kau sudah menjadi saudara kami. Semoga kau sentiasa dirahmati Allah. Isya-Allah,” Doa Ustaz Sufi. Mashitah dan Adam tidak menukar nama mereka. Hanya berbin dan berbintikan dengan nama Abdullah sahaja.
“Syukur pada Allah. Semuanya diatas keizinanNya. Jika tidak, saya tidak akan sampai ke sini hari ini,” Ujar Mashitah.
“Betul tu Mashitah,” Sampuk Khalijah.
“Terima kasih pada Ustaz dan kak Khalijah kerana sudi ajar kami sekeluarga tentang islam. Kami rasa sangat tenang dan bahagia kini. Alhamdulillah,” Ujar Adam, suami Mashitah.
“Bagaimana kamu bersolat di rumah Tuan Daniel, Mashitah?” soal Khalijah. Dia masih berasa risau apabila memikirkannya. Dia sudah menganggap Mashitah seperti adik kandungnya sendiri. Mashitah sangat baik dan tutur katanya juga sopan.
“Usahlah akak takut atau bimbang. Kat sana memang ada bilik yang disediakan untuk saya. Saya boleh bersolat di sana saja. Jika ke pasar, saya boleh mengambil kesempatan darinya. Insya-Allah.”
“baiklah. Jaga diri, Mashitah, Adam. Semoga Allah melindungimu selalu,” doa Khalijah.
“oh ye.. ini ada senaskah Al-Quran buat kamu sekeluarga. Mengajilah selalu. Semoga kamu mendapat ketenangan dan keredhaan Allah.” Ujar Ustaz Sufi sambil menyerahkan senaskah Al-Quran kepada Adam.
“terima kasih Ustaz.”
“ya. Sama-sama.”

* sudah beberapa bulan berlalu sejak pengislaman Mashitah dan keluarganya. Dalam waktu yang panjang itu, Mashitah berjaya menyembunyikannya dari pengetahuan Tuan Daniel. Setiap hari Mashitah akan ke rumah Ustaz Sufi dan Khalijah untuk belajar ilmu Islam dengan lebih mendalam.
“MASHITAH!!” laung Julia. Hampir segenap rumah dapat mendengarkan suaranya itu.
Kelam kabut Mashitah menanggalkan telekungnya dan berlari mendapatkan Julia.
“Ye, cik? Ada apa yang boleh saya lakukan?” soal Mashitah. Dia termengah seketika.
“apa yang kau buat, ha? Satu rumah aku cari kau, tahu? Kau curi tulang, ye? Kurang ajar!” satu tamparan hinggap ke pipi mulus Mashitah.
Mashitah meraba pipinya. Terasa perit. “saya ke tandas, cik. Saya sakit perut,” Bohong Mashitah.
“Sudah! Banyak alasan kau! Aku lapar. Pergi buat makanan untuk aku dan papa. Kau ingat aku tak tahu ke mana kau pergi selama ini? Apa yang kau buat dengan Sufi di rumahnya, ha? Kau bermesra dengan dia pula selepas tak tahan dengan suami kau ye? Dasar perempuan murahan! Kau bernasib baik aku tak lapor pada papa!!” Julia mengugut. Mashitah tersentak. Sempat dia beristighfar dalam hati.
“Saya bukan seperti yang Cik katakan.  Saya….” Belum habis Mashitah bercakap, Julia terlebih dulu memotong.
“sudah! Pergi buat makanan aku. Buang masa saja cakap dengan perempuan murahan macam kau!” langsung tiada rasa hormatnya pada Mashitah yang lebih tua darinya.
Mashitah berlalu ke dapur. Air matanya mengalir lebat. Sedih apabila difitnah. Dia tahu sebagai seorang muslim, dia perlu bersabar. Allah menyukai orang-orang yang sabar.

*Ustaz Sufi, Khalijah dan penduduk kampong yang lain bergegas menuju ke rumah Tuan Daniel. Mereka mendapat tahu daripada Ahmad yang kebetulan melalui depan rumah Tuan Daniel. Ahmad mengkhabarkan Mashitah sedang dipukul dengan oleh orang suruhan Tuan Daniel kerana bukti pengislamannya terbongkar.
“Kurang ajar kau, Mashitah. Ini yang aku dapat selepas bertahun lamanya aku memberi kau makan? Sekarang aku nak kau keluar daripada islam,” Tengking Tuan Daniel.
“Tidak, Tuan Daniel. Hati aku hanya pada Tuhan yang satu. Tuhan yang Esa. Dan Dia adalah ALLAH. Tiada Tuhan melainkan Allah. Nabi Muhammad persuruh Allah.” Tegas Mashitah. Sekali lagi dia disepak Tuan Daniel. Mashitah mengerang kesakitan.
“Lebih baik kau menurut perintahku atau aku akan membunuh suami kau dan seterusnya adalah kau, Mashitah!” ugut Tuan Daniel. Ditangannya sudah tergenggam sebilas pisau.
“Langkah mayat kami dulu sebelum kau mahu membunuh Mashitah dan Adam, saudara baru kami, Daniel!” sampuk Ustaz Sufi. Mukanya kelihatan tegang. Bersedia mahu melawan. Para lelaki di belakang Ustaz Sufi mula bersuara dengan berani. Khalijah bersama beberapa kaum hawa yang lain mengundur ke belakang.
“Sebelum kau dan orang-orang tak guna kau itu aku hapuskan, lebih baik kau pergi dari sini dan jangan masuk campur dalam urusan aku, Sufi!” Tuan Daniel juga tidak mahu mengalah.
“Berpantang maut sebelum mengalah. Kami takkan gentar dengan kau, Daniel. Allah sentiasa ada untuk membantu kami melawan orang munafik seperti kau, Daniel.” Ustaz Sufi dan orang-orangnya bersedia untuk melawan.
“Kurang ajar!! Hapuskan mereka!” arah Tuan Daniel kepada orang-orangnya sedang dia sendiri berundur ke belakang. Mereka berlawan sehinggalah orang-orang Tuan Daniel berjaya ditumpaskan. Tuan Daniel sudah ketakutan.
“Daniel, sebelum terjadi apa-apa pada kau dan anak kau, lebih baik kau berambus dari Negara ini. Kami tidak mahu menerima orang seperti kau!” Ustaz Sufi memberi amaran. Dengan beraninya dia mendekati Tuan Daniel.
“Berambus kau, Daniel!”  sahut seorang penduduk lelaki yang lain pula.
Tuan Daniel segera memanggil anaknya untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu apa-apa terjadi kepada anak kesayangannya itu dan bergegas dari situ tanpa mengambil harta di rumahnya. Suatu hari nanti dia akan datang. Nekadnya.
“Terima kasih Ustaz dan kalian semua. Pasti kami sudah tiada lagi jika kalian tidak datang membantu.” Setelah Tuan Daniel dan anaknya pergi, barulah Mashitah berani bangkit.
“Sudahlah. Kami sudah lama mahu dia pergi dari sini. Selepas ini, kita boleh hidup dengan aman. insyaAllah,” Ujar Ustaz Sufi. Mashitah menoleh kearah suaminya yang sedang dibantu oleh beberapa orang lelaki.
“Kenapa kau sedih, Mashitah?” soal Khalijah yang menyedari kemurungannya. Dia memeluk bahu Mashitah bagi menenangkannya yang mungkin sedang ketakutan.
“Apa yang kami nak makan lepas ni? Sumber rezeki kami dah pergi,” Mashitah tertunduk. Adam memandang penuh simpati.
“Allah maha adil Mashitah. Dia memberi kau rezeki yang lebih halal dari sebelum ini,” Ujar Ustaz Sufi.
“Maksud Ustaz?”
“Bekerjalah di rumah kami Mashitah. Insya-Allah ini yang terbaik buat kamu,”
“Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih ustaz, Kak Khalijah,” Syukur Mashitah. Adam mengangguk sambil mengalir air mata syukur.
Mashitah dan Adam dibawa ke klinik berdekatan untuk dirawat bersama beberapa orang lagi lelaki yang tercedera ketika berlawan tadi. Segala kos rawatan ditanggung Ustaz Sufi.

2 comments:

  1. Alahmdulillah.. Cerita yang sangat baik. Kekuatan Masyitah sama seperti seorang wanita dan keluarganya pada zaman Rasulullah SAW yang sanggup dibuang ke dalam minyak panas demi mempertahankan agama ISLAM..Tahniah Nad. Terharu..:)

    ReplyDelete
  2. terima kasih Fatrim Syah... :)
    kebanyakan cerita memang digarap dari pengajaran kisah zaman Rasulullah SAW... :)

    ReplyDelete