Pages

Unit Pengikut

Friday 14 February 2014

Batas Cinta 1

Batas Cinta 1
(Cerita Tentang Hana)
by : Haidan Roonie


SUARA azan yang dilaungkan Bilal dari sebuah Masjid dalam kawasan Taman Perumahan itu sayup-sayup berkumandang memenuhi ruang alam semesta. Menyeru manusia yang masih sedang lena tidur supaya bangun menunaikan solat Subuh, menyembah sujud kepada Pencipta makhluk di seluruh alam.
            Seorang wanita awal 30an membuka pintu bilik dan memasuki ruang kamar tempat anak-anaknya beradu. Dia menggeleng perlahan melihat gaya kedua anak perempuannya tidur. Perlahan dia tersenyum dan mendekati mereka.
            “Hana.. Izu.. bangun, sayang. Dah Subuh ni. Pergi mandi, ambil wuduk dan solat ye,” Perlahan sahaja Ibu menepuk-nepuk kaki mereka supaya bangun dari pembaringan.
            Hana, anak perempuan sulungnya yang berusia 14 tahun mulai menggeliat. Ibu sangka Hana akan bangun dari pembaringan, sebaliknya Hana menarik kain selimut dan menutupi seluruh tubuhnya. Bila bangun awal pagi, itulah perkara sama yang akan dibuatnya. Liat nak bangun di waktu Subuh sehingga beberapa kali pernah tertinggal solat Subuh. Sekali lagi Ibu menggoncang lutut kanan Hana.
            “Bangun Hana, nanti terlepas Subuh!” pujuknya lembut.
            “Ala, Ibu ni. Hana nak tidur sekejap je lagi. Nanti Hana bangunlah!” jawab Hana walaupun selimut masih menyelubungi tubuhnya.
Izu, anak bongsunya yang tidur di sebelah Hana mulai terpisat-pisat membuka matanya. Dia menggeliat. Sesekali menguap tanpa menutup mulutnya yang ternganga.
            “Bangunlah sayang. Nanti terlepas Subuh pula,” kejutnya lagi tanpa jemu. Kemudian dia beralih memandang Izu yang sudah duduk bersandar di kepala katil. “Izu pergi masuk mandi, lepas tu jangan lupa solat Subuh, ye?” suruhnya. Dibelainya ubun-ubun Izu tanda kasih.
            Izu mengangguk. Tidak susah untuk menyuruh Izu yang masih lagi di tahun dua sekolah rendah tu. Dia mudah mendengar kata dan tak pernah cuba memberontak seperti kakaknya. Maklumlah sudah mahu meningkat remaja. Izu mencapai tuala di atas penyangkut dinding dan segera keluar dari bilik tidurnya.
            “Bangun, Hana. Nanti tak sempat ke sekolah pula.”
            “Ibu, Hana sekolah sesi petanglah. Mana tak sempat pula?” Hana menjawab malas. Selimut yang menutupi wajahnya ditarik perlahan oeh Ibu. Matanya masih terpejam. Ibu tersenyum nipis.
            “Sekurang-kurangnya Hana kenalah bagi contoh yang baik untuk adik Hana. Kan bagus tu. Lagipun, Allah tak suka orang yang melewat-lewatkan solat dan tidur selepas waktu Subuh,” terang Ibu tenang.
Ibu tersenyum apabila Hana sudah membuka matanya. Dia mengeluh keras tanda tidak puas hati. Kerap kali Ibu mengingatkannya perkara yang sama. Perlahan-lahan Hana bingkas bangun dan mencapai tuala. Dia memandang Ibunya. “Yelah. Hana dah bangun. Kejap lagi Izu habis mandi, Hana pergilah.”
            “Hana tak boleh macam ni. Kena ikhlas dalam melakukan Ibadah. Hana kena …”  
            “Izu dah habis mandi. Giliran Kak Hana pulak,” tiba-tiba Izu mencelah sebaik melangkah masuk ke ruang bilik. Dia berjalan masuk dan memakai pakaian sekolah yang sudah siap digosok.
            “Jangan lupa solat. Ibu keluar dulu. Nak siapkan makanan.” Ibu bangun dari katil dan bergegas menuju ke dapur.
            Izu beralih memandang kakaknya, lama. Hana yang mulai perasan dipandang menoleh ke arah kirinya. “Apa pandang-pandang? Solatlah!”
            Tergopoh-gapah Izu menyarung kain telekung. Melihat kelibat Hana yang mulai melilit tuala di leher, Izu memberanikan diri memanggil dan bertanya soalan pada Hana.
            “Kakak, kenapa ya kita kena solat? Kawan-kawan Izu kat sekolah kata dia orang tak solat pun,” soal Izu pantas. Hana memandang adiknya. Otaknya ligat mencari jawapan yang sesuai.
            “Hm.. Kakak pun tak tahulah. Nanti kita tanya Ibu dengan Ayah. Mungkin mereka lebih tahu,” jawab Hana.
            “Oh.. Izu tak kisah sebenarnya kalau bersolat setiap hari, Izu cuma nak tahu bolehkah kalau tidak solat? Lagipun Ibu dengan Ayah selalu pesan, solat lima waktu itukan wajib. Solat itu tiang agama..”
            “Izara…”
Tidak habis Izu menghabiskan katanya, Hana terus memanggil dan menjengilkan matanya. Izu menundukkan kepalanya. Kemudian, dia menarik nafas perlahan.
            “Tak apalah. Nanti kita tanya Ibu dengan Ayah aje. Akak nak pergi mandi dululah. Solatlah. Banyak bercakap, nanti terlepas Subuh pulak,” sindir Hana.
            “Ok, Akak.”
            Sebaik Hana keluar dari bilik. Segera Izu menunaikan solat Subuh seperti yang telah dipelajari daripada Ibu dan Ayah.
*****
            Ibu sedang melayan suaminya, Ayah di meja makan. Mihun goreng dan Teh O panas dihidangkan untuk suaminya. Untuk Hana, dan Izu juga sudah siap terhidang, hanya menunggu mereka keluar dari bilik sahaja. Mungkin mereka masih sedang bersiap.
            “Panggil anak-anak kita sarapan sekali. Dah lewat ni.” Ayah menjeling jam di tangan kanannya yang sudah menginjak ke angka tujuh.
            “Sekejap ye saya panggilkan.” Ibu baru menapak selangkah apabila terlihat Hana dan Izu yang berjalan ke arahnya. “Hah, dah keluar pun Hana dengan Izu.”
Ibu masih berdiri di tempatnya sementara menunggu Izu yang sudah lengkap memakai baju sekolah bersama beg yang dijinjingnya dan Hana yang masih memakai baju tidur mendekatinya dan duduk di meja makan.
             
            “Kakak!” Panggil Izu. Apabila Hana memandangnya, Izu hanya menunjukkan isyarat mata ke arah Ayah. Hana yang tidak memahami mengerutkan dahinya.
 “Ada apa Izu jeling-jeling Ayah ni?” Ayah memandang Izu. Menanti jawapan dari anak bongsunya. Izu tidak menjawab, sebaliknya dia memandang kakaknya, Hana.
            “Yelah. Akak tanya,” jelingnya pada Izu. Kemudian dia memandang Ayah. “Tadi Izu tanya Hana, boleh ke kalau kita tak solat sebab kawan sekolah dia pun tak solat?” Terang Hana, acuh tak acuh saja.
            Ayah tersenyum nipis mendengar soalan sebegitu. Satu pembelajaran yang wajib didedahkan kepada anak-anaknya kerana solat lima waktu itu adalah wajib dalam rukun Islam yang kedua.
“Hm.. memandangkan kita dah lewat, apa kata kita habiskan sarapan lepas tu pergi sekolah dulu? Malam karang Ayah janji akan cerita semuanya tentang solat, ok?”
            “Janji ye, Ayah? Ok, Izu tunggu. He..” walaupun tidak mendapat jawapan dengan segera, namun Izu cuba bersabar walaupun semangat ingin tahu menebal dalam hati.
            Ping… Bunyi hon van sekolah kedengaran di hadapan rumah mereka. Bunyinya sangat nyaring menyebabkan Izu kelam kabut menghabiskan makanan dan minumannya dan terus bangun, menyalami Ibu, Ayah dan Hana.
            “Izu pergi dulu. Assalamualaikum.” Izu meminta diri dan segera menyarungkan kasut sekolahnya.
            “Wa’alaikumsalam. Belajar elok-elok kat sekolah,” Pesan Ibu yang menurutinya ke pintu.
            “Baik, Ibu.” Jawab Izu.
            Sebaik Izu menaiki van sekolah, barulah Ibu kembali menyertai suaminya Hana di meja makan.
            “Mana Hana?” Soal Ibu sambil duduk di tempatnya.
            “Dah masuk dalam bilik. Dah kenyang katanya,” jawab Ayah.
            “Hana semakin pelik sekarang ni. Dulu rajin saja dia bangun solat subuh, sekarang dah liat semacam,” adu Ibu. Perlahan dia mengeluh. Dia kurang tegas dalam mendidik anaknya ke? Bisiknya.
            “Kita kena ajar anak-anak perlahan-lahan. Hana tu dah semakin meningkat remaja. Dan dah remaja pun. Kadang-kala dia akan protes juga kalau kita terlalu mendesak.” Ayah terbatuk perlahan kemudian menghirup teh panas yang masih bersisa. “Abang pergi dulu. Dah lambat.” Ayah terus bangun dan berjalan menuju ke pintu rumah.
            Ibu turut bangun dan mengekori langkah Ayah hingga ke muka pintu. Kereta yang sememangnya dihidupkan sebelum bersarapan tadi dinaiki Ayah. Perlahan pintu kereta ditutup. Tingkap kereta di tempat pemandu diturunkannya.
            Ibu mengambil dan memakai tudung yang sengaja diletakkan di atas sofa panjang yang terletak berdekatan dengan pintu. Kemudian, dia keluar dari rumah dan mendekati suaminya.
            “Abang pergi dulu. Jaga rumah dan diri baik-baik, kunci pintu tu. Assalamualaikum.”
            “Baik-baik ye, bang. Wa’alaikumsalam.”
            Ayah mengundurkan kereta. Sebaik kereta Ayah menghilang dari pandangan Ibu, barulah dia keluar ke halaman untuk menutup rapat pintu pagar rumah. Usai saja, dia mengunci pula pintu dan mengemas meja di ruang makan keluarga.

 hakciptaterpelihara: haidanroonie.a.k.a.SitiNadiah
22/1/2014 17:46PM

No comments:

Post a Comment